Thursday, December 31, 2009

Terima kasih 2009

Sudah berlalu laluan berbatu. juga santai ria yang sering bertandang. Begitulah warna hidup...Indah dan kelabu silih berganti. Alhamdulillah, di penghujung tahun ini saya sujud bersyukur dengan rahmat dan kasihsayangNya kerana masih di berinya kekuatan mencipta keriangan dan terus produktif.
Begitu banyak kemanisan tahun ini.
Terima kasih Tuhan dengan rezeki dan ketenangan dan segala yang Engkau berikan tak terucap dan tertulis demi kasih pada hambaMu.
Terima kasih suami, anak-anak dan keluarga yang cukup memahami dan sedia teman berteman pada kesekian waktu
Terima kasih teman seperjuangan, teman-teman maya dan teman lama yang menyemarakkan
ukhuwah.

Allah telah berikan pelangi selepas hujan ribut, Allah berikan senyum selepas tangisan. Allah berikan hikmah dan kefahaman selepas setiap ujian. Allah berikan kawan pada kesunyian. Allah berikan jawaban manis seleaps setiap keluhan. Allah telah berikan yang lebih baik selepas harapan yang tak kesampaian.


Terima kasih semua. Anda hadir dan memberi impak manis dalam hidupku tahun ini. Tanpa kalian, tentu hidup ini boring!!

Thursday, December 17, 2009

Selamat Tahun Baru 1431 Hijrah

Salam Maal Hijrah. Semuga hidup lebih sempurna dalam mencari mardhatillah...






Wednesday, December 16, 2009

Bayam Batu

Di bawah pohon itu kubawa rajukku. Tiada siapa tahu. Sendiri mengesat jurai airmata sambil tangan yang satu lagi mencapai butir kecil yang merah menyuapi mulut sendiri. Terhibur hati kala menjumpai buahnya yang hitam kerana ia begitu manis pada lidah. Begitu teduh di sana. Boleh membaca sambil menunggu padi di jemuran bawah terik mentari musim kemarau. Dahan pohonan yang jingga berkerutu bintil-bintil kekadang ku lelas hanya untuk suka-suka. Ada juga torehan catatan kata hati di perdu sana. Pohon bayam batu itu membesar bersamaku. Aku tahu mana pucuk yang baik untuk di sayurkan. Aku juga teliti memilih daun muda untuk direbus dan diulamkan dengan air asam berlauk haruan bakar! Sesekali hati bergegar juga melihat akar bayam batuku dikorek dan direntap putus dari tunjangnya. Akarnya berwarna oren segar. Tapi hati berbisik.. pohon itu redha akarnya di cabut kerana khasiat penyembuhnya untuk penyakit batu karang.
Masih segar senda dan gaduh-gaduh manja berebut buah yang paling besar, paling hitam dengan sepupu. Duduk-duduk senggang, sembang-sembang petang dan main aci ligan berkeliling pokok bayam batu yang berjiran dengan pohon nona dan keriang batu..mana lagi nak dicari tanaman itu sekarang...
Bersama waktu yang pergi , seusai SPM kudapati pohon bayam batu ku tiada lagi di hujung laman. Rindu juga, sayu pun ada. Tapi hakikat survival diri, tiap yang ada lawannya tiada. Mustahil ia kekal di bumi Allah.
Kelmarin, kujumpai pohon ini didaerah kelahiranku... dan nostalgia menyingkap kisah damai anak kampung yang mula memberitahu anak-anakku bahawa bayam batu dipanggil mulberi. Kala usia menginjak, segar rasa hati melihat buah merah hitam melekat subur di sana. Manis juga deria mengulang rasa masam manis buah kecil yang tidak pernah mengenyangkan , tapi cukup untuk menjadi perencah dewasa.

Monday, December 14, 2009

Khabar...

Sekian lama tak menulis. Banyak perkara berlaku dan banyak juga yang difikirkan. Terimakasih pada kawan-kawan yang menyokong dan memberi pendapat. Setelah meledak hati saya sudah maafkan orang berkenaan. Bila diulang lawat, design tiruan itu sudah ditarik balik dari laman mayanya. Baguslah andai ada yang sedar bahawa dalam mengejar impian, matlamat tidak menghalalkan cara. Usah ambil mudah meniru bulat-bulat tanpa izin kerana walaupun semuanya hak Allah, kita manusia perlu amanah dengan apa yang kita lakukan. Kreativiti adalah jatidiri; walau tiada akta mengawal tindakan tapi, andai ada hati yang tidak mengizini, berkatkah rezeki yang kita perolehi… Selainnya, menjadi kawan yang bernilai juga sebenarnya lebih manis dan lebih bererti andai tiada titik kelabu. Tiada manusia sempurna ,kerana itu salahkah meledak begitu. Tepuk dada tanya selera.. kan? Apapun yang terjadi, hikmahnya ada, barangkali masih belum ku jumpa. Barangkali diam lebih baik kerana ia menyelamatkan dari banyak masalah. Oleh itu diriku...berlapang dadalah...kerana dedaun dipohon hanya gemersik bila angin bertiup dan ia tidak pernah ribut sendiri. Lebah dan tebuan pun hanya diam dengan kerja mereka jika tiada yang menjolok sanggarnya. Perhatikan awan biarpun kusam atau bergelung ia tetap mengikut peraturan Allah. Dan virus juga bakteria, ia bangkit dan aktif kerana Allah menyuruhnya mengingatkan manusia tentang kejadianNya, qada' dan qadarNya , juga kifarahNya. Seperti gunung berapi, letusannya sekali, kemudian ia kembali pendam dengan aman. Mengumpul kekuatan diri bukan mudah kerana yang menilai bukannya manusia, cuma antara diri dengan Maha Pencipta. Berzikirlah...
Sibuk juga barangkali. Bekerja dalam industri pembuatan elektronik menuntut ketangkasan, ketepatan.. Ohhhh...ooohhhh. diri dah tua..tahu benar.. tak terkejar rasanya tuntutan itu...maka jadinya terkedek-kedek mengejar arus supaya tidak ketinggalan...Justeru sukar juga melayan selera anak-anak yang tidak pernah puas, barangkali kerana sibuknya ibu yang agak jarang menjerang kesukaan mereka; pun tidak punya banyak ruang bersama mereka. Tugasan hakiki yang bergerak selari meminta tenaga yang bukan sedikit. Makanya lelahku pada penghujung malam yang masih muda kala anak-anak masih mahu bergembira..menonton, bergurau, jadi suram kerana lelapku mendahului aktiviti mereka. Ampuni daku ya Tuhanku, kerana bukankah lebih afdhal memimpin tangan mereka dari menyerah pada kelesuan fizikku.
Sedikit masa dan tumpuan pada coklat dan baking juga barangkali menyejat kudrat diri. Sekadar suka-suka pada mulanya dah jadi ketagihan sekarang. Kelmarin seseorang bertanya, bila masa awak kerja, bila masa awak buat coklat, bila masa awak buat kerja rumah,bila masa awak mengajar. Tergeletek hati juga.. tapi bukanlah terlalu serius kegiatan ini. Setakat yang mampu dan tidak memberatkan diri. Bersyukurlah...bukankah itu pemanis hasrat perjalanan hari ...
Yang pasti.. face booking lebih menarikku ke sana. Lebih mudah kiranya berisyarat pendek dan kemas yang cukup ramah. Hehehe.. alasan ya, barangkali.. dan lagi satu...aktivitiku banyak

Teruja dengan kejutan dan nostalgia bila kini sudah berjaya mengumpulkan hampir seratus kawan-kawan lama. Hidup perlu diteruskan...