Showing posts with label Hobi. Show all posts
Showing posts with label Hobi. Show all posts

Saturday, February 14, 2009

Bunga Melur

Dalam bersahabat, saya ingin menjadi bunga melur.
Memutih, mewangi dan menyembuh.
Bunga melur hanya berwarna putih tidak seperti bunga-bunga lain yang senama tapi punya warna yang berbagai. Barangkali ia dijadikan sedemikian untuk jadi lambang pernyataan hati yang bersih, ikhlas dan tulus.

Sepanjang riwayatnya dari kudup, sewaktu kembang mekar hinggalah menjadi bunga kering,bunga melur tetap wangi. Bunga melur berbau sangat harum terutama pada waktu malam dan ia mekar sepanjang tahun dihalaman saya. Bila berpindah dari rumah mak, saya bawa sepasu pokok bunga melur. Sewaktu anak-anak kecil masih dulu, saya kerap gunakan daun dan bunga untuk menjaram kepala anak demam dan mengubat mata saya yang selalu kena sakit mata merah. Aruah bapa meletakkan bunga melur yang diramas hancur pada bekas gigitan tebuan atau lebah, katanya untuk menghilangkan bisa dan bengkak. Aruah mak menyediakan air daun dan bunganya yang diramas dalam air untuk membasahkan kepala bagi menghilangkan pening kepala waktu saya mengandung sulung.

Kudup melur cukup berkhidmat pada upacara perkahwinan apa jua bangsa ; menjadi bunga rampai, bunga manggar, menghias sirih junjung, melilit sanggul anak dara dan mak dara....Melur susun kelapa pecah lima kelopaknya sering mendapat tempat dalam rawatan tradisi orang Melayu dan bunga wajib dalam upacara agama Hindu. Dan bunga melur cina amat harum dan dinyanyikan sebagai lagu rakyat berbuai.
Ayun laju-laju
sampai hujung sana
apa dalam baju
sekuntum bunga cina

Adat bunga akan layu dan kering. Biar pun begitu melur tetap harum dan ia di jadikan asas minuman teh melur yang lembut perisanya dan wangi aromanya. Semuga melur jadi petanda sebuah persahabatan yang luhur.

Sunday, April 27, 2008

Projek Hujung Minggu

Seorang sahabat mahukan hantaran yang simple tema merah. Saya adunkan warna emas untuk menyerlahkan meriah.
Asalnya bekas ini merah kosong. Untuk menaikkan seri saya lilitkan rantaian manik warma dan bunga putih kecil. Bekas ibu itu sebenarnya bekas paling kecil dalam set 7 biji kotak untuk set hantaran ini. Bakal di isikan bunga rampai.....
Bekas jam diselitkan setangkai bunga hijau untuk menaikkan seri kotak hijau tua. Simple dan cepat tapi agak leceh nak lekatkan penutup pada kotak!

Dulang pewangi ruang ini agak "flat". Saya tambahkan 12 bilah-bilah separuh melengkung dari titik pusat dulang, jadi seakan kolam air pancut dengan apungan bunga dan sepasang rama-rama merah. " mama perasan" . Kata si dia... he he he!

Banyak lagi nak disiapkan. Bersepah bilik anak dara seorang itu di kerjakan emaknya...

Monday, March 3, 2008

Koleksi Antik....Maaf!

Beberapa tahun dulu saya menghimpun barang-barang lama. Nilainya unik pada mata saya kerana ia cantik walau berusia, jarang dijumpai, fungsinya dalam keunikan bentuk dan cerita di sebaliknya. Objek barangan lama ini bagaikan hidangan sejarah dalam jejak laku masyarakat yang kita pusakai. Koleksi saya merangkumi koleksi keluarga yang saya perolehi dari ibubapa,adik beradik kedua-dua belah pihak dan satu lagi koleksi yang saya cari,tukar atau beli. Kebetulan suami juga berminat. Antara yang kami ada ialah keris, pinggan antik pecah seribu,sepasang takar cuka getah,set teh cina, duit siling, batu permata, kulit siput, batu, botol dan beberapa lagi termasuk kain tenun.

April 2006 - saya ucapkan selamat tinggal pada barang antik.
Koleksi keluarga, saya serahkan pada abang-abang. Yang saya perolehi dari sumber lain saya
B.U.A.N.G dan tak mahu di kenang lagi.

Saya tidak sedar bagaimana ia bermula tapi kala itu saya bencikan semua orang. Dengan anak saya garang macam mak tiri. Lepas marahi anak,saya menangis kesal. Rumah saya dikelilingi mesjid dan surau, saya tak keruan pada waktu azan sahut bersahut. Saya tutup telinga, lepas itu saya menyesal dan beristighfar, kemudian menangis. Rasa kesal. Bila saya ingin lakukan sesuatu yang baik, umpama bermesra dengan anak, ada satu perasaan lain menyelinap. Jadi keliru dan marah pada diri sendiri. Apa di buat serba tak kena! Selalu dibuai perasaan sayu yang entah kenapa. Bahagian sebelah badan terasa amat berat dan berdenyut-denyut. Bukan saya tak amalkan surah al Quran, tapi membacanya pun tak betul. Lidah kejung. Bacaan Yasin saya ulang berkali-kali dan sebutan melencung ke mana-mana walaupun mata saya mengikut hurufnya. Serba tak kena. Solat pun amat malas. Bila mengangkat takbir, saya menerawang ke mana-mana.
Saya dibawa berubat secara tradisi. Memberontak tak mahu..tapi apakan daya, pada masa itu saya amat takut dengan abang-abang saya. Benci. Sesuatu yang janggal sebab saya rapat dengan mereka semua. Menurut Pak Haji pengamal perubatan tradisi itu, saka orang singgah pada saya. Abang,kakak dan suami terkejut besar.Saya terasa macam terapung-apung, tak jejak ke bumi. Antara sedar dan tidak. Saya rasa saya sedar kerana melihat kakak saya menangis tersedu-sedu. Waktu berubat saya dikatakan bercakap sesuatu yang saya tak sendiri tidak tahu. {Saya tidak diberitahu apa yang saya ucapkan, cuba juga bertanya, tapi abang saya menasihatkan supaya dibuang jauh-jauh ingatan itu}. Puncanya,salah satu barang dalam simpanan saya bersaka,bila barang itu berpindah milik, saka nya berpindah tuan! Empunya saka itu sendiri memilikinya tanpa pengetahuan beliau. Alkisah, sewaktu beliau masih kecil zaman sebelum perang, seseorang telah menyerahkan " sesuatu" pada dia konon untuk pelindung diri.
Dalam perjalanan balik dari rumah Pak Haji, kami yang berkonvoi 3 buah kereta berhenti di tepi jalanraya di pinggir sawah. Saya dengar nasihat abang pada suami supaya bersabar banyak-banyak. Mereka berbincang sambil airmata masing-masing berlinang. Saya macam orang bodoh, antara sedar dan tidak. Yang pasti saya amat letih, memandang mereka dengan perasaan beku. Macam baru terjaga dari mimpi. Saya masih ingat tadinya saya diberi makan garam kasar dengan halia bara dengan sekali kunyah, minum air gunung, mandi air gunung, dan diberi bekal surah-surah untuk amalan saya. Antaranya amalan harian waktu sembahyang surah Yasin dan surah al-Jinn yang di baca setiap kali lepas sembahyang maghrib. Cukup payah nak menghabiskan surah ini. Satu malam saya bertarung dengan diri sendiri. Saya baca dan ulang semula bila saya sedar bacaan salah. Waktunya panjang hingga kaki saya kebas dan badan saya menggeletar. Saya mulai selepas sembahyang maghrib dan habiskan satu surah pada hampir pukul 10 malam. Selesai saya menyebut, kun faya kun.. semacam angin panas menerobos keluar melalui telinga. Saya solat Isyak dan selepas itu rasa letih yang teramat. Automatik, selepas kejadian itu, surah Yasin kembali basah dilidah saya. Bacaan ayat suci al Quran lancar macam biasa. Bila saya ceritakan pada Pak Haji, dia tersenyum dan mengangguk.
Tiba-tiba ada semangat baru menyelinap. Rumah kami ceria kembali dengan gelak ketawa. Kami berkunjung lagi ke rumah Pak Haji. Kali ini saya mencari-cari di mana perasaan takut saya bila masuk ke halaman rumah Pak Haji sebelum ini. Ia hilang. Cuma terasa nyaman, tenang, melihat Mak Aji memberi makan anak ayam di tepi rumah di permatang sawah landai di kaki gunung Jerai.
Pak Haji menyambut saya dengan senyum dan mengusik, katanya saya dah kembali berseri-seri. Tak macam dulu, moyok dan gelap saja airmuka saya. Dia mengejek saya dengan beberapa perkataan,dan saya terpinga-pinga sebab saya tak tahu lansung hal itu...Oh, itu rupanya yang saya ucapkan tanpa sedar waktu proses "mengeluarkan" saka dari jiwa raga!
Malas mahu fikir tentang apa, kenapa, bagaimana, siapa, bila .....Saya pilih yang lurus. Kita hamba, mereka pun hamba. Kita ada jalan kita, pilihan kita di jalan Allah. Hati saya lapang.
Saya sunguh-sungguh bersyukur dengan sokongan kuat suami,abang-abang dan kakak saya. Kesabaran, kasihsayang dan pimpinan mereka menyalakan semula semangat saya. Kesihan suami saya kena buli. Tidurnya dulu tak pernah nyenyak sebab "saya" asyik menyerkah,menggigit kakinya waktu tidur. Tak cukup dengan itu saya meracau-racau dalam tidur...{yang saya sedar hanya bila terjaga terasa hembusan panas masuk ke cuping telinga}. Suami disisi membaca ayat suci dan menghembusnya ke telinga. Saya tak tahu pun hal itu berlaku. Bila dikisahkan Pak Haji, barulah saya dapat menyambung peristiwa demi peristiwa.
Hikmahnya, saya lebih tenang dan yakin mengumpul kekuatan diri. Kini minat terus luput, replika antik pun saya tak berkenan. Saya mohon maaf andai catatan ini mengguris hati sesiapa. Tulisan ini bukan bermaksud memperlekehkan antik. Jauh sekali mempengaruhi sesiapa, apatah lagi orang-orang yang berminat dengannya. Ini adalah sekilas catatan kisah hidup saya yang tidak mungkin lupus, tapi telah saya sempadani. Saya masih punya banyak pilihan lain untuk menceriakan hidup dan membahagiakan orang-orang tersayang. Ia mengajar saya berhati-hati dan beristikharah memohon petunjukNYA kerana apa yang kita rasakan baik untuk kita tidak semuanya pilihan yang tepat dan bersih di sisi ALLAH.