Monday, March 31, 2008

Sirna

Bila suami menelefon suruh saya baca tentang Sufiah di Utusan atau Harian Metro. ( memang dah lama saya tak baca akhbar arus perdana ini), saya ambil kesempatan waktu makan tengahari meneliti berita si genius matematik yang kini hidup gelandangan. Kesal dan kasihan! Cerita lanjut di sini. Nampaknya semua akhbar bercerita tentang dia, seperti satu waktu dulu semua akhbar mewar-warkan kecerdasannya
Sedikit sebanyak kita memungkinkan pelbagai andaian dan bertanya di mana silapnya hingga permata itu tenggelam dan bersalut lumpur hanyir kini. Mungkin tidak dapat membawa diri dengan suasana akademik di kampus rigid pada usia 13; sedangkan anak sebaya dia masih mahu bermanja dengan ibu ayah sambil so seh soh seh tentang peralihan ke alam remaja, tentang perubahan fizikal tubuh dan lain-lain. Jika benar sekalipun bapanya jahat dan menganggap rumah ibu-bapanya sebagai neraka, dia tidak patut mengambil jalan itu untuk menyambung hidup. Tidak ada pihak yang nampaknya cuba memahami . Tanggapan umum seakan berkata " dia sudah dewasa untuk menilai cabang hidup yang lebih terbuka dan bersih". Dia seakan mahu membalas dendam pada kongkongan hidup masa kecilnya.
Kata suami saya; budak ni ada otak tapi tak berakal! Mungkinkah kerana terkongkong minda sejak kecil hingga akalnya menjurus pada jalan penyelesaian mudah semudah dia menyelesaian masalah matematik.
Saya masih ingat waktu kecil dulu cerita Muhammad Syukri Hadafi yang pintar membaca. Kerana kekangan ekonomi keluarga dia pernah menjadi anak angkat Prof Ungku Aziz; tapi tidak nampak keberhasilannya akademiknya. Khabarnya dia menjalani hidup dengan saradiri ringkas di kampungnya

Apa khabarnya Nur Amalina yang mendapat 17A dalam SPM dan menyambung pelajaran ke universiti tersohor dunia?
Apa akan terjadi pada Adi Putra . Satu ketika ada tersiar di TV3 perihal ada pihak berkecil hati kerana module yang di bentangkan tidak di terima ibubapanya. Terbaru sebuah IPT berusaha mencerna sistem pembelajaran yang di katakan terbaik untuk mencambahkan kecerdasan anak bertuah ini.

Saya bukan pakar, tetapi sebagai warganegara yang perihatin kita ingin tahu cara menanganinya. Amat rugi modal insan begini di persia oleh percaturan kuasa. Sebagai pembayar cukai yang setia kita juga ingin pastikan dana sumbangan kita tidak di alirkan pada usaha sia-sia.
NOTA: Sufiah dan Nur Amalina adalah penerima biasiswa kerajaan Malaysia.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, yang bermaksud:
“Setiap bayi yang lahir itu adalah suci bersih. Maka ibu bapalah yang menjadikan mereka sama ada Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”


Mengambil tanggungjawab ini, saya pohon petunjuk ALLAH.

~~~~~~~~~~~~#####~~~~~~~~~~~~~~~~~~~####~~~~~~~~~~


Berat kepala saya mengenangkan persoalan ini...jom makan Kasui SiverSarina. Saya kutip resepi dalam ruangan komen di blog KakRina dan dah dokumenkan dalam dongeng dapurku. Thanks KakRina, first time saya buat kuih ni, menjadi betul resepi kakRina. Muga murah rezeki dan berkat hidup pemberi resepi ni ya, Amin.

Thursday, March 27, 2008

From Gunung Keriang to Gunung Kinabalu

To my dearest niece Suhaila. Good luck for new posting to KK.
(Photo is taken from her bedroom window in her parents' home)



this morning I

open the window

glass I see

my face smiling

hanging

at times door


Ya Allah, remove her difficulties, grant her safety and great success, shower her with love and happiness, let our end be good action, and count us with Your pious servant, Amin.

Sunday, March 23, 2008

Sajak Rindu


Ia cuma sebuah buku nota. Bertahun-tahun saya kehilangan buku ini, hingga saya tak berharap lagi untuk menjumpainya. Sesekali masih terkenang-kenang kandungannya, terutama catatan resepi yang saya kutip sepanjang tempoh di sana. Agak ralat kerana resepi yang saya salin dalam disket juga tersimpan di poket buku itu. Tercatat juga di situ nota-nota kecil sepanjang jalan kenangan. Ah, sukarnya melupai sesuatu yang pernah memberi kemanisan pada hati.
Pagi Sabtu yang bening saya keseorangan di rumah. Saya mengemas masukkan barang simpanan dalam kotak, dan menyelongkar laci chestdrawer dalam bilik anak. MasyaAllah, di sini rupanya bulu itu! Alhamdulillah... kalau jumpa RM seribu pun rasanya saya tak teruja sampai begini. Disket pun masih di situ, tapi mahu dicari kemana ya, komputer yang pakai floppy disk sekarang ni!
Sudahnya, hampir setengah hari saya membelek buku ini. Mengimbau kenangan lalu, terkenang zaman muda dan menyalin resepi dari buku ke blog masak saya, takut hilang lagi bila berpindah ke rumah baru nanti...
Antara catatan kecil saya waktu kerinduan dulu....


fingers joint stiften
like steel part of an old clock
frozen with rust
these hands recall
my father's strength
mother's pain
brother's grip
I want to sleep
without dreaming


Greenville, NC 26/4/1989,
sitting with Don Rutlegde at AJFletcher Recital Hall


Ini pula lukisan Emmanuele Vargas untuk saya

khabar terakhir beberapa tahun lalu dia kembali ke Mexico mengepalai satu gereja besar di sana. Ini pula sling purse berian Achariya Ketudat, entah di mana anak petani kaya Thailand ini..tapi cenderahati ini masih cantik dan boleh dipakaiguna.


Waktu itu kami sama-sama baru sampai dan mengambil kelas English di bimbing Don. Bukan kami saja yang gementar tapi cikgu ini pun rupanya seriau jugak mengendalikan enam orang pelajar antarabangsa yang lintang pukang bahasa kami dengan slanga dari tanah peribumi. Saya Melayu tunggal di sini. Saya lah paling banyak buat kontroversi sebab saya tak makan semua yang mereka makan, tak join mereka pergi parti dan mereka terpaksa tunggu saya solat waktu kami pergi berjalan-jalan. Macam-macam aktiviti kami buat dan pelbagai rasa pengalaman kami tempuh. Kami sungguh rapat walaupun mengambil kurus berlainan dan saling bantu membantu. Sajak di atas saya tulis sewaktu amat rindukan keluarga dan saya luahkan pada Don. Dia mendorong saya untuk menulis. Waktu itu kami sedang menunggu masuk untuk menyaksikan persembahan tamat kursus (recital) oleh Kim Yung yang bermain piano untuk kelas Music Theraphy. Sampai kini saya dan Don masih berutusan, sejak zaman surat menyurat hingga sekarang beremail dan YM!

Thursday, March 20, 2008

Kenduri dan.. apa tu?

Abang dan kakak saya meneruskan amalan kenduri maulud seperti kebiasaan aruah ibubapa. Saya memilih untuk pulang kepangkuan keluarga dari menjadi pemerhati perhimpunan dan perarakan Maulud di SJ yang di khabarkan akan menjadi perhimpunan orang M membantah dasar pemerintah baru negeri PP. Macam-macam ajakan saya terima supaya turut serta. Saya lega bila pihak berkuasa bersuara menerusi TV yang mereka akan bertegas terhadap sebarang tindakan yang menjuruskan cetusan sentimen di sini. Kami bertolak awal, bila kami sampai, nah...depa dok pulun gaul kerabu mempelam!
Menu ringkas, kari ikan, goreng pekasam, daging goreng kunyit, kerabu mempelam dan sambal belacan dan ulam-ulaman. Sekampung jiran bergotong royong, rewang kata orang Jawa. Sambil bekerja, sarapan pagi tersedia di meja layandiri. Pulut kukus dengan kelapa parut dan ikan asin goreng. Betul-betul sarapan orang bendang. Kena pula dengan apam putih dan bengkang tepung jawi ( orang selatan panggil bingka). Abang saya memang kreatif menyelongkar menu lama, dan pandai pula mencari pembekal yang bagus! Bihun goreng yang saya bawa jadi alternatif untuk kanak-kanak. Saya bukan tolong buat kerja pun, cuma jadi tukang kecohkan suasana, antaranya usik orang melatah!

Sebelum zohor, jemputan lelaki memenuhi ruang. Majlis bermula dengan tahlil di ikuti selawat, marhaban dan berzanji. Sekali lagi permintaan saya supaya jamuan diadakan secara buffet jadi umpan kena jegil dengan abang sulung. Manakan tidak, makan berhidang tentu banyak kerja. Jamuan sambung bersambung hingga petang. Letihnya, saya cilok pergi tidur sekejap lepas mandi dan sembahyang zohor, he he he...

Lewat petang baru pulang. Sebelum melepasi plaza tol Sg Dua, nampak apa tu?

Asap hitam tinggi dan besarrrr

Closed-up, kebakaran besar; kilang agaknya....
Kebakaran besar itu semacam daya penarik panorama di remang senja. Saya di antara puluhan kenderaan lain berhenti di bahu lebuhraya melihat dengan gerun sambil memetik kamera. Tahu tahu sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti di depan kereta saya. Alamak...! anggota JPJ buat rondaan kawalan ka?
Bila saya hidupkan enjin, nampak mereka pun turut merakam gambar dengan telefon bimbit...

Maulidur Rasul

Salam Maulidur Rasul. Selawat dan salam keatas Junjungan Besar Kekasih Allah, ar Rasul Muhammad Sallalah alaihi wasallamn. Selawat dan salam pada keluaraga dan para sahabat Baginda, serta seluruh muslimin muslimat.

Hari ini amat istimewa. Hari yang menjana kembali peringatan tentang betapa besarnya amalan selawat ke atas Baginda; kerana inilah benih yang perlu kita semai untuk memperolehi syafaat Baginda di akhirat kelak. Petikan hadith riwayat Tarmizi, "mereka yang paling dekat denganku di hari akhirat ialah mereka yang banyak bersalawat kepadaku".

Semuga kita dapat memenfaatkan sebaik-baiknya peringatan dari hadith ini. Amin

Monday, March 17, 2008

Tradisi yang Dijunjung

Puteri Awatif Muhammad Fauzi dan Dhia Nabihah Muhammad Yusri di raikan majlis cukur rambut,tahnik, berendoi dan marhaban serentak kenduri akikah mereka. Si comel montel berdua ni bersaudara sepupu, mereka ini cucu saudara cikMilah..
Dhia Nabihah lena menanti giliran...
buaian di hias cantik di penjuru anjung .. kumpulan dikir berendoi bersalawat sebelum upacara bermula...mak Puteri yang masih dalam hari dah tak sabar menghayun buai... Puteri Awatif nyenyak beradu di buai alunan berendoi...



potong jambul dan bercukur rambut.


ceria sebelum dan selepas bercukur rambut
Tok Long Ustaz mencerna kurma dan air zam-zam dengan cincin emas untuk menyempurnakan tahnik Dhia Nabihah.

Amalan ini jarang di amalkan sekarang. Saya dan ahli keluarga sepakat akan terus menghidupkan amalan ini dan saban tahun kami menghimpunkan ahli baru keluarga untuk sama-sama membawa bayi melalui proses unik ini. Anak-anak saya yang sudah remaja amat seronok melihat kembali rakaman kisah hidup mereka menjejak tradisi lama.

Rencana mengenai tahnik di sini.

Take a break!

Take a break…….
meditate…
3minutes & calm your mind…
Close your eyes....
Recite 3 times continouslyImagine, the fullnes of barakah dan rahmah spreading on earth. Insyaallah. Amin.

Wednesday, March 12, 2008

Menelan Hakikat

Bagaikan guntur membelah langit, Umar dipanggil mengadap. Terus terkena halilintar. Seekor manusia yang ada di situ keluar bila Umar sampai. Semua empat perkataan huruf besar menujah telinga. Naik panas mukanya!
Bertubi-tubi soalan. Dia diam menganalisa dan mencari fakta. Bila big boss diam, dia minta izin melihat dokumen untuk di teliti. Mata Umar terus melihat ke dalam mata big bos nya yang melingas macam singa tak cukup makan. Dia menjawab. Jawaban nya cuma sebaris ayat, kurang dari sepuluh patah perkataan. Big bos tersandar. Menghembus nafas.
Umar menolak pintu bilik se ekor manusia dan berhujah. Tegang. Suara mereka di dengar keluar. Lantak!!!! Akhir sekali Umar bercakap dalam Bahasa Malaysia, perlahan-lahan. “ Kalau saya mahu balas perbuatan kamu, saya boleh buktikan depan big boss. Saya sekarang dalam posisi yang boleh saya buktikan ini bukan salah saya. Tapi saya bukan macam kamu. Kamu akan pencen 5 bulan lagi…Fikirlah".

Geram, marah, sakit hati bercampur baur. Umar duduk menenangkan diri di biliknya. Sejuk penghawa dingin tidak terasa. Darahnya membuak-buak hingga panas mata. Dia beristighfar seraya terlintas ayat ini yang pernah dibaca olehnya entah di buku mana.
"Umat ini menjadi super kerana mereka benar-benar beriman serta berpegang teguh dengan ajaran Islam".
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 139, “Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah bersedih hati, padahal kamu lah orang-orang paling tinggi (darjatnya) jika kamu beriman..”.

Sunday, March 9, 2008

Jalan-jalan Tiga Negeri Utara

Permatang Pauh / Seberang Jaya - 7.00 pagi Bersama jurugambar Ammer Ikhwan saya mulakan perjalanan dua misi. Awal pagi di halaman mesjid Jamek Bandar Bandar Perda, Permatang Pauh, gelanggang Datin Seri Dr Wan Azizah Dato' Wan Ismail (Kak Wan) dan Datuk Pirdaus Ismail (Datuk P). Pagi cerah seakan merestui pilihan rakyat Permatang Pauh , bendera parti berkibar indah. Perang poster di sini memang sakan, lawan berlawan . Trafik simpang siur dengan kenderaaan pengangkut pengundi.
Sampai di pusat pembuangan undi Tok Kandu, halaan kamera amateur Ammer di beri sorakan dari para pelobi pondok panas kedua-dua parti.






Suasana panas dan riuh walaupun masih awal pagi. Sukar di ramal kemenangan besar Kak Wan kerana Datuk P memang berhabis-habisan di daerah ini sejak penggal lepas. Kami sengaja memanjangkan langkah ke Seberang Jaya yang di dominasikan warna biru tua yang total. YB Datuk Arif Shah sememangnya kesayangan orang sini. Khidmat dan ramahnya tak mengira rakyat dari parti mana-mana pun. Tak harianlah beliau menang majoriti.

Kepala Batas 7.30 pagi.


Susur keluar Bertam lengang tapi begitu sesak di Bertam menghala ke Kepala Batas




Kami batalkan hasrat meninjau ke Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal setelah melihat kalut nya trafik di Bertam. Ia mungkin menjejaskan rangka waktu jelajah 3 negeri kami .
Saya katakan pada jurugambar , 80% BN menang di sini! Biar apa sekali pun telahan dan kritikan pada PM, orang sini amat hormat dan sayang cucu Tok Ngah Abdullah Fahim!
Kami membelah lebuhraya ke utara, singgah sebentar di R&R Gurun, jurugambar melepas lelah dan menikmati minuman kegemaran, milo ais!

Perhentian kami, daerah tumpah darah ku,
Kubang Pasu kubu kuat BN @ 9.00 pagi.

Saya membuang undi di sekolah tempat saya mengenal ABC. Petugas pondok panas BN dan pondok panas PAS adalah rakan sepermainan dan saudara mara. Kedua-duanya menyambut kami dengan senyum dan jenaka. Ya lah , pengundi tempatan pulang dari luar daerah. Serba salah juga kalau saya singgah di pondok panas nan satu, jadi saya memeriksa daftar nama di kedua-dua pondok, sekadar mengambil hati dan bertanya khabar dengan mereka yang dedikasi di bawah payung parti pilihan mereka!

Khemah biru dan hijau saya jejaki menyambut sapa dan bertanya khabar
Kepulangan upama ikan pulang ke lubuk,saya bukan saja pulang memangkah tapi dapat bertemu kawan lama dan saudara-mara sebelah ibu.
Pakcik handsome yang segak berdiri ini guru saya waktu sekolah rendah!


Sebak berjumpa kawan aruah mak datang di pimpin cucu mereka dan di sambut pegawai SPR.
Tanpa disangka, saya diunjukkan borang tuntutan duit minyak dan tol (?) Hah! Rupa-rupanya BN ada peruntukan ini setiap pilihanraya tapi ini pertama kali saya tahu tentangnya. Dalam hati berbisik, ini habuannya bermanis mulut beramah tamah! Saya hebahkan hal borang ini pada anak-anak saudara yang bermastautin di daerah lain dan sama-sama pulang mengundi di sini. Kami diarah mengambil wang nya di Pejabat UMNO, Jitra. Anak-anak saudara melompat ke kereta saya dan kami jalan-jalan dengan selesa melihat-lihat pos-pos di sekitar Jitra, Bukit Kayu Hitam, Tunjang, Bukit Pinang. Rata-rata pertarungan PAS-BN sengit sejak zaman Tun Mahathir. Kami sepakat menjangka laluan sukar untuk Parlimen di menangi PAS atas faktor populasi Bumiputera Siam di sini. Perhubungan dengan Selatan Thai perlu di ambil kira, sebab itulah Pak Lah memang tepat melantik ahli Parlimen Kubang Pasu sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada penggal yang lalu. Begitupun jangkaan kami bahawa Dr Rohani Mutalib mengatasi DSM juga meleset kiranya. Kubang Pasu kekal sebagai kubu BN walaupun PAS menang majoriti dan membentuk kerajaan negeri :D

2.30pm : Jerlun :Mukhris vs Ismail Ahmad
Cakap-cakap nakal berkata Jerlun adalah laluan mustahil untuk anak Tun kerana rata-rata pesawah di sini memang pekat hijaunya.Begitupun,menarik juga jambatan taliair ini berhias senyum wakil parlimen baru!
3.00 petang: Arau, Perlis

Adik Menteri Besar vs Prof Dr Harun Din al Hafiz
Ismail Kassim yang di kenali sebagai Chu, menang tipis dengan 300 undi sahaja. Waktu kami sampai hujan turun dengan lebat. Mereka tak hiraukan hujan panas agaknya, masing-masing berpayung berkerumun pos panas mereka.
Di Simpang Empat, PAS terus berkibar megah dengan kemenangan majoriti 58 undi. Sengit memang sengit!
Perjalanan pulang melalui Alor Setar, kami singgah solat Asar di Mesjd al-Bukhary. Hujan mencurah-curah. Ammer tak henti-henti ketawa melihat poster bergelimpangan lintang pukang di simbah hujan. Ironinya... tak ada gambar!
Solat Maghrib kami di R&R Gurun sebelum meneruskan perjalanan pulang. Memasuki kawasan Kak Wan, kami tak menjumpai satu pun poster PKR. Wah, pantas dan bersih orang-orangnya. Tak lama selepas itu saya terima sms bahawa Kak Wan menang majoriti besar. Satu demi satu saya memaku diri di depan tv sehingga jelas BA menawan Kedah tercinta dan Pulau Pinang, kini milik siapa...

Friday, March 7, 2008

Selamat Mengundi Rakyat Malaysia

Jalan masuk ke kampungku... Gambar ini saya muat turun dari sini... buat saya teruja dan mahu balik kampung....
Tunggu Dr KakAni... chek balik niiiii.... Maaf SM, chek dengaq cakap TokDet.....

"Vote sensitively. Vote not only with party loyalty concerns but also vote in order to have good people setting up a good government." - Tun Mahathir Mohammed


Kepada semua pengundi berdaftar, selamat menjalankan tugas dengan akal yang waras.

Kepada penghuni hantu , pangkah upahan anda tidak membawa keberkatan dunia dan akhirat.

Monday, March 3, 2008

Koleksi Antik....Maaf!

Beberapa tahun dulu saya menghimpun barang-barang lama. Nilainya unik pada mata saya kerana ia cantik walau berusia, jarang dijumpai, fungsinya dalam keunikan bentuk dan cerita di sebaliknya. Objek barangan lama ini bagaikan hidangan sejarah dalam jejak laku masyarakat yang kita pusakai. Koleksi saya merangkumi koleksi keluarga yang saya perolehi dari ibubapa,adik beradik kedua-dua belah pihak dan satu lagi koleksi yang saya cari,tukar atau beli. Kebetulan suami juga berminat. Antara yang kami ada ialah keris, pinggan antik pecah seribu,sepasang takar cuka getah,set teh cina, duit siling, batu permata, kulit siput, batu, botol dan beberapa lagi termasuk kain tenun.

April 2006 - saya ucapkan selamat tinggal pada barang antik.
Koleksi keluarga, saya serahkan pada abang-abang. Yang saya perolehi dari sumber lain saya
B.U.A.N.G dan tak mahu di kenang lagi.

Saya tidak sedar bagaimana ia bermula tapi kala itu saya bencikan semua orang. Dengan anak saya garang macam mak tiri. Lepas marahi anak,saya menangis kesal. Rumah saya dikelilingi mesjid dan surau, saya tak keruan pada waktu azan sahut bersahut. Saya tutup telinga, lepas itu saya menyesal dan beristighfar, kemudian menangis. Rasa kesal. Bila saya ingin lakukan sesuatu yang baik, umpama bermesra dengan anak, ada satu perasaan lain menyelinap. Jadi keliru dan marah pada diri sendiri. Apa di buat serba tak kena! Selalu dibuai perasaan sayu yang entah kenapa. Bahagian sebelah badan terasa amat berat dan berdenyut-denyut. Bukan saya tak amalkan surah al Quran, tapi membacanya pun tak betul. Lidah kejung. Bacaan Yasin saya ulang berkali-kali dan sebutan melencung ke mana-mana walaupun mata saya mengikut hurufnya. Serba tak kena. Solat pun amat malas. Bila mengangkat takbir, saya menerawang ke mana-mana.
Saya dibawa berubat secara tradisi. Memberontak tak mahu..tapi apakan daya, pada masa itu saya amat takut dengan abang-abang saya. Benci. Sesuatu yang janggal sebab saya rapat dengan mereka semua. Menurut Pak Haji pengamal perubatan tradisi itu, saka orang singgah pada saya. Abang,kakak dan suami terkejut besar.Saya terasa macam terapung-apung, tak jejak ke bumi. Antara sedar dan tidak. Saya rasa saya sedar kerana melihat kakak saya menangis tersedu-sedu. Waktu berubat saya dikatakan bercakap sesuatu yang saya tak sendiri tidak tahu. {Saya tidak diberitahu apa yang saya ucapkan, cuba juga bertanya, tapi abang saya menasihatkan supaya dibuang jauh-jauh ingatan itu}. Puncanya,salah satu barang dalam simpanan saya bersaka,bila barang itu berpindah milik, saka nya berpindah tuan! Empunya saka itu sendiri memilikinya tanpa pengetahuan beliau. Alkisah, sewaktu beliau masih kecil zaman sebelum perang, seseorang telah menyerahkan " sesuatu" pada dia konon untuk pelindung diri.
Dalam perjalanan balik dari rumah Pak Haji, kami yang berkonvoi 3 buah kereta berhenti di tepi jalanraya di pinggir sawah. Saya dengar nasihat abang pada suami supaya bersabar banyak-banyak. Mereka berbincang sambil airmata masing-masing berlinang. Saya macam orang bodoh, antara sedar dan tidak. Yang pasti saya amat letih, memandang mereka dengan perasaan beku. Macam baru terjaga dari mimpi. Saya masih ingat tadinya saya diberi makan garam kasar dengan halia bara dengan sekali kunyah, minum air gunung, mandi air gunung, dan diberi bekal surah-surah untuk amalan saya. Antaranya amalan harian waktu sembahyang surah Yasin dan surah al-Jinn yang di baca setiap kali lepas sembahyang maghrib. Cukup payah nak menghabiskan surah ini. Satu malam saya bertarung dengan diri sendiri. Saya baca dan ulang semula bila saya sedar bacaan salah. Waktunya panjang hingga kaki saya kebas dan badan saya menggeletar. Saya mulai selepas sembahyang maghrib dan habiskan satu surah pada hampir pukul 10 malam. Selesai saya menyebut, kun faya kun.. semacam angin panas menerobos keluar melalui telinga. Saya solat Isyak dan selepas itu rasa letih yang teramat. Automatik, selepas kejadian itu, surah Yasin kembali basah dilidah saya. Bacaan ayat suci al Quran lancar macam biasa. Bila saya ceritakan pada Pak Haji, dia tersenyum dan mengangguk.
Tiba-tiba ada semangat baru menyelinap. Rumah kami ceria kembali dengan gelak ketawa. Kami berkunjung lagi ke rumah Pak Haji. Kali ini saya mencari-cari di mana perasaan takut saya bila masuk ke halaman rumah Pak Haji sebelum ini. Ia hilang. Cuma terasa nyaman, tenang, melihat Mak Aji memberi makan anak ayam di tepi rumah di permatang sawah landai di kaki gunung Jerai.
Pak Haji menyambut saya dengan senyum dan mengusik, katanya saya dah kembali berseri-seri. Tak macam dulu, moyok dan gelap saja airmuka saya. Dia mengejek saya dengan beberapa perkataan,dan saya terpinga-pinga sebab saya tak tahu lansung hal itu...Oh, itu rupanya yang saya ucapkan tanpa sedar waktu proses "mengeluarkan" saka dari jiwa raga!
Malas mahu fikir tentang apa, kenapa, bagaimana, siapa, bila .....Saya pilih yang lurus. Kita hamba, mereka pun hamba. Kita ada jalan kita, pilihan kita di jalan Allah. Hati saya lapang.
Saya sunguh-sungguh bersyukur dengan sokongan kuat suami,abang-abang dan kakak saya. Kesabaran, kasihsayang dan pimpinan mereka menyalakan semula semangat saya. Kesihan suami saya kena buli. Tidurnya dulu tak pernah nyenyak sebab "saya" asyik menyerkah,menggigit kakinya waktu tidur. Tak cukup dengan itu saya meracau-racau dalam tidur...{yang saya sedar hanya bila terjaga terasa hembusan panas masuk ke cuping telinga}. Suami disisi membaca ayat suci dan menghembusnya ke telinga. Saya tak tahu pun hal itu berlaku. Bila dikisahkan Pak Haji, barulah saya dapat menyambung peristiwa demi peristiwa.
Hikmahnya, saya lebih tenang dan yakin mengumpul kekuatan diri. Kini minat terus luput, replika antik pun saya tak berkenan. Saya mohon maaf andai catatan ini mengguris hati sesiapa. Tulisan ini bukan bermaksud memperlekehkan antik. Jauh sekali mempengaruhi sesiapa, apatah lagi orang-orang yang berminat dengannya. Ini adalah sekilas catatan kisah hidup saya yang tidak mungkin lupus, tapi telah saya sempadani. Saya masih punya banyak pilihan lain untuk menceriakan hidup dan membahagiakan orang-orang tersayang. Ia mengajar saya berhati-hati dan beristikharah memohon petunjukNYA kerana apa yang kita rasakan baik untuk kita tidak semuanya pilihan yang tepat dan bersih di sisi ALLAH.