Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Thursday, March 5, 2009

Letih tapi Ceria

Bila berbual, Dikma al-Bazrah selalu sebut Prof MKI dan dari situ saya kenali beliau melalui blog, buku,tv dan MIDI. Kedatangan beliau ke mesjid khariah ini mmg tak di duga, terima kasih pada puan-puan penganjur. Satu jam untuk mukadimah sahaja. Majlis berhenti rehat tak lama selepas pembukaan memberi laluan pada waktu Isya', sekaligus memberi ruang pada yang bercuti mendekati Prof.
Prof bercerita bagaimana beliau membahagi masa

Bersemangat sungguh mendengar Prof. membicarakan mengenai falsafah dan hikmah di sebalik ibadat haji, berkisahkan pengalaman beliau sendiri. Kisah beliau kisah luar biasa, manifestasi doa dan istiqomah. Beliau menekankan tentang doa yang yang menjadi nadi amal ibadat dan segala niat. Doa yang tulus dan bersungguh-sungguh akhirnya mengubah sempadan iman, mengubah sebuah kehidupan; mendapat seperti yang diimpikan . Dalam fikiran saya, apalah agaknya doa yang diamalkan oleh isteri Prof, Puan Roza yang merupakan tulang belakang kejayaan lelaki ini.

Satu lagi tentang konsep kun fayakun.Allah itu Maha Berkuasa, Maha Pengasih Maha Penyayang, semua yang berlaku adalah dengan kehendak Allah SWT sahaja, jika Allah berkehendak, apa sahaja mungkin berlaku. Sebenarnya saya rasa banyak lagi yang hendak di sampaikan tapi nampak benar beliau keletihan. Sesekali terbatuk-batuk ; yang pasti pengisian lebih 2 jam cukup mendalam. Semuga Prof MKI dan keluarga sentiasa dalam perlindungan dan kasih sayang Allah, kesihatan yang baik. Semuga satu hari nanti dapat saya bertemu Puan Roza.

Wednesday, February 4, 2009

Baling katak....

Siang tadi saya kemaskan closet baju dan almari kasut anak-anak.
Ada sekarung besar kasut lama yang dah tak muat kaki anak-anak, ada antaranya masih baik dan boleh dipakai.
Belum habis berita tivitiga, saya asingkan yang masih boleh dipakai untuk re-cycle dan simpan dalam kotak.
Selonggok kasut lagi memang uzur.
Anak bertanya,
"mama nak buat apa kasut ni.."
"nak baling ke Perak!"
"kenapa?" kesian anakku confuse dia dengan mak yang tengah marah dan bengang...
"Baling katak yang suka melompat-lompat."

Friday, January 30, 2009

Sedih lagi!

Updated: 2/2/2009

Assalamualaikum,Terima kasih dari kami sekeluarga untuk semua komen dan doa dari kalian. Hanya Allah yang membalas kebaikan ini.

Zany, siapalah kita dapat menangguh detik maut ; kepadaNya kita serahkan seluruh kehidupan , semuga sama-sama mendapat berkat.
Ummi, thanks a lot - ujian yang bertimpa-timpa ini tentu kerana kasih sayayangNya kepada kita yang banyak dosa...

InsyaAllahKakElle,terimakasih yang tidak terhingga pada kesudian buat entry dlam blog akak.

Fakhzan, semuga roh mereka berterbangan di syurga... Ameen,, ameen...

OO, sesudah kemudahan ada kesusahansesudah kesusahan itu ada kemudahan, tiada yang kekal melainkan Allah. Doakan saya kuat menghadapi hari muka.

Maklang, thanks for the doa, call and reminder.

Simah, thanks...keep well, InsyaAllah we'll be allright.

Neeza, InsyaAllah.. ameen.

Ustaz Farid,ia sejenis serangan jantung.. ada orang tua-tua kata macam angin ahmar. Aruah tak ada penyakit yang kami tahu, malah sahabat sebilik / rapatnya pun tak tahu, kecuali demam biasa. Aruah seorang aktif dalam sukan juga.Perginya menyedarkan kami seluruh keluarga akan mahalnya peryataan kasihsayang dan never take thingd for granted.

Terimakasih Tie. InsyaAllah semuga Allah makbulkan doa kita, ameen.

Madam Chin Siew Lin,
terima kasih atas email anda yang KakElle siarkan membuka mata ramai tentang pentingnya nilai kasihsayang dan penguasan bahasa Melayu yang amat tinggi dan autentik!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Selepas 2 entry yang berat, saya berazam tak mahu lagi menulis tentang suram dan sedih. Rupanya kisah sedih belum berakhir di situ. Pada hari yang sama, Jumaat minggu lepas, bapa saudara tersayang pergi di jemput Allah.. tapi saya tak menulis tentangnya; walaupun peristiwa ini amat memilukan kerana Allahyarham merupakan ayah saudara terakhir yang kami ada dari sepuluh orang adik beradik emak.
Semuga Allah menempatkan PakNjang, Allahyarham Hj Ishak bintu Rahmah pada darjat tertinggi di sisiNya, Amin.Kami pulang ke Kedah menziarahi jenazah dan terus bercuti CNY - rehat, JJCM hingga selatan Siam mencari durian.

Seminggu berlalu, ada lagi kejutan besar yang datang. Petang Khamis kelmarin kami dikejutkan lagi dengan kematian seseorang yang tidak kami duga. Anak saudara kami; anak kepada abang suami meninggal dunia secara tiba-tiba. Allahyarham dijemput olehNya sewaktu berehat di rumah; mengadu sakit dada yang amat sangat kemudian koma. Terus di bawa kehospital yang letaknya cuma kurang 500m dari rumah dan disahkan meninggal sebaik tiba di sana.
Acute Coronary Syndrome - begitulah yang tercatat sebagai penyebab kematian. Sepanjang semalam dan hari ini kami di sana. Terngiang bacaan talqin
"Wahai Azrul Zhafrizal bintu Roshimah, kami serahlan engkau kepada Allah..."
Dengannya kami redha.. semuga rohmu disusuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. AlFatihah.
Kami akan di kenang Abang Azrul ( panggilan seluruh keluarga pada aruah) sebagai anak yang cukup baik dan tertib, abang yang penyayang, kawan yang baik, atlet yang berwibawa.
Hiang sudah raut wajah handsome dan tubuh atlet ala-ala model yang jadi idola pada adik-adik sepupu yang mengkagumi Abang Azrul sepagai pelajar yang cemerlang akademik dan pelumba basikal tanahair yang sedang meningkat.
Abang Azrul adalah abang kesayangan semua sepupu, dia adalah cucu sulung lelaki Tok. Sifat nya yang lembut, tertib dan cukup berhemah disenangi semua. Dari petang hingga ke tengahmalam hingga subuh pagi, pengunjung bertali arus..Sahabat handai dan guru-guru dari Penang Free School. UiTM, UIAM semuanya datang dan keluar dengan mata berkaca. Malah urusan jenazahnya begitu mudah. Kawan-kawannya tidak meninggalkan sisi jenazah dari mula meraka sampai , menolong segala urusan hingga ke akhir pengkebumian.
Semuga KakShimah dan Abang Razak tabah , Dija dan Duan juga mesti sabar kerana cukup setakat itu Allah pinjamkan Abang Azrul pada kita. Perginya di hari Jumaat yang mulia, semuga dia mendapat kemuliaan di alam kubur nya dan di tempatkan dikalangna orang -orang beriman...al Fatihah.

Wednesday, January 14, 2009

Lagu itu...

Gadis kecil itu telah bertahun
dilanda derita
di khemah pelarian
yang menjanjikan dukacita
Munir tak mengenal erti cinta
telah kering airmata
menangisi
kematian
ayah bunda
dan
saudara


Pada satu senja
langit Shatila
menyaksikan pembunuhan
anak kecil dan wanita
Munir ditembak penuh luka
tapi ajalnya belum tiba
kerana Tuhan
mengasihi dia

Peristiwa hitam 17 September
telah menjadi bukti
sempurnalah
kekejaman
satu bangsa yang sombong dan hina


Lagu ini saya dengar pertama kali dalam satu pertandingan mencipta lagu, terus saya hafal lagu dan liriknya sampai saat ini. Waktu itu masih sekolah menengah, saya menggilai lagu puisi, apatah lagi lagu-lagu puisi dari pencipta lirik dan lagu ini, Zubir Ali. Saya selalu menyanyi sendiri lagu ini dengan airmata. Satu waktu pada majlis pembacaan puisi Palestin, selepas Sdr Puzi Hadi bersemangat membacakan sajaknya, saya capai mikrofon yang diunjukkan oleh Puzi, tapi tak baca sajak Tanah Air seperti yang di rancang, sebaliknya sepenuh hati mengalunkan lagu ini di khalayak. Sedar-sedar seorang seniman jalanan memetik gitar di sisi...dan Siti Zaleha Mohd Hashim turut sama menyanyi...Hari itu, kami mengutip jumlah wang yang besar untuk di salurkan pada tabung bantuan Palestin. Itu dulu, tahun 80-an...

Hari ini, sejak awal Muharram 919 saudara Palestin kita gugur di Ghazzah, termasuk antaranya 284 kanak-kanak dan 100 wanita di bunuh Yahudi laknat dan 4260 lagi cedera dan menerima rawatan minima. Berpuluh ribu lagi tak keruan hidup mereka; meletakkan nyawa pada satu risiko; demi al-Aqsa.
Lemahnya aku, hanya mampu menyumbang dengan doa dan sedikit dana, juga boikot produk mereka. Selemah-lemah imanku; cuma mampu melawan dengan hati. Tebal yakinku di hati, terus berdoa, kerana itulah senjata Muslimin yang paling ampuh.

Tuesday, September 16, 2008

Alahai hero ku...

Back-dated posting.. kejadian berlaku pada 15 Ramadhan..

Selepas menghidang juadah, sempatlah saya rehat sebentar. Waktu ini Ammer ambik port dia kat balkoni atau tingkap bilik. Di situ dia tunggu azan dari mesjid politeknik sambil tengok budak-budak main di taman permainan atau tengok langit merah kala matahari terbenam. Ya.. dari tingkap rumah kami boleh nampak laut dan pulau berbalam-balam. Waktu matahari terbenam cantik sekali.

Bila saya panggil dia duduk dengan saya, dia tak menoleh, diam saja. Saya pun pergi tengok apa dibuatnya tu.
Tengok-tengok airmata sudah basah kat pipi.. Kenapa Ammer, sakit perut ke, saya meneka segala kemungkinan..ammer ingat kakak ka, Ammer sakit kat mana.. sapa marah
Semuanya dijawab dengan geleng kepala...hujan makin lebat lagi.
"Ammer lapar..." lemah dia bersuara sambil tu berlagulahhh menangis
"Alaahai... puasa mmg camni".
"tak tahan...nak buka"
"3 minit saja lagi. 2 minggu posa OK saja, Ammer buat apa kat sekolah hari ni".
"Tadi dah la sakit tekak , kena azan dua kali, kena azan kuat-kuat ;lepas tu susun meja,lepas tu buat homework, lepas tu..."

Hari ni memang agak panas...kesian tengok anak ini. Diam saja kalau letih.
Sejak umur 6 tahun dia tidak tinggal puasa. Kiranya tahun ni pun berazam nak puasa penuh...

Ok lah.. tapi Ammer tahan kan, Ok jom basuh tangan.
Saya bagi dia sabun pencuci tangan baru. Dia suka wanginya. Senyum kemewek...bila dapat main buih kat sinki, leka lah dia sebentar. sampai azam berkumandang...

Lauk berbuka hari tu....sup sayur dan udang masak lemak cili api dengan cendawan tiram


Sunday, August 24, 2008

Di celah-celah pilihanraya kecil yang besar

Tinggal sehari lagi.

Bila terbit fajar 26 Ogos 2008, pengundi Permatang Pauh bakal menjalankan amanah besar. Sedar atau tidak, rakyat dan kerajaan Malaysia meletak pergantungan yang tinggi pada pengundi Permatang Pauh. Keputusan pilihanraya kali ini bak satu penentu halatuju suasana politik Malaysia. Suka atau tidak pengundi di sini menggalas pengharapan ini dan merealitikan tuntutan dan impian yang berapi-rapi sekarang. Di mata saya, yang berlaku di sini dikira dahsyat. Rakyat "melawan" kerajaan Malaysia.

Keputusan pilihanraya ini bakal jadi titik tolak suasana politik Malaysia. Kedua-dua pihak mahukan kemenangan , menang sorak dan menang kampung. Saya tak mahir menganalisa isu politik tapi membuka mata dan telinga seluas-luasnya kerana di sini saya berpijak,bernafas dan mencari rezeki. Sepintas lalu yang dapat saya katakan, realiti di sini tidak terpampang di media arus perdana. Maaflah saya katakan, khalayak di luar Permatang Pauh tidak dapat melihat suasana sebenar jika hanya anda bersumberkan tv dan akhbar arus perdana.

Poster: yang manis, yang tulus, yang pelik, yang memalukan, yang kelakar, yang tak masuk akal pun ada.

Ceramah dan kempen: Saya ingin menjadi neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Rasa ingin tahu apa yang mereka perkatakan. Saya ingin dengar isi ceramah kedua-dua pihak, jadi pasang telinga la sikit. Biarlah saya simpan sendiri apa yang saya lihat dan dengar kerana saya lebih suka bercerita yang elok sahaja; yang jelik biar saya diamkan sendiri.

Jalan jammed dan sekatan: boleh di katakan di setiap kilometer...

Helikopter berlegar di bandar Seberang Jaya setiap 10 minit...

Wajah pemimpin di poster dan di jalanan....wajah Saiful di persimpangan..sarapan percuma, wayang free, peraih pingat olimpik Beijing di pentas...yang belum keluar cuma tarian singa dan gendang India serta kompang Melayu kot....

Saya teruja sebab ada solat munajat. Nama-nama besar ulama negara ada di sini memberi kuliah selepas solt di mesjid, selain memneri ceramah politik. Tiap-tiap malam pada hujung minggu ini ada solat munajat di khalifahkan ulama' tersohor Tiba waktunya diadakan di mesjid dekat rumah, bendera berkibar la pulak...frust! Hajat nak berimamkan ulama' besar itu belum kesampaian. Waktu maghrib kelmarin saya berdiri di korridor tingkat 13, tak boleh jadi...Tok Guru punya pasal, saya tak boleh miss ceramah beliau yang datang dari jauh. Saya susuri sesak jalan sambil mendengar ceramah dan ucapan dari pembesar suara. Adik-adik traffik pun perasan dan cakap" kereta ni dah 2-3 kali round, jangan masuk gambar saya dlm paper aaa kak". Akhirnya saya double parking sambil mendengar ceramah dan cerita dari dalam kereta. Tok guru lebih memberi tazkirah...sejuk hati, aman telinga. Selesai solat hajat, dapat SMS dari Ummu Asiah yg berada di dalam mesjid. Kesian dia keletihan dan kelaparan. Saya pun berlawan arus kenderaan, kidnap dia sekejap. Kami pergi minum.

Untuk rakan dan sahabat yang mengundi besok, saya sertai dengan doa semuga Allah beri petunjuk dan kejayaan yang benar dan besar.

Saturday, June 14, 2008

Selamat Pengantin Baru Abang Ngah 14 Jun 2008

I did mentioned about Abang Ngah in my previous entry. That is him! Newly wed couple with their beautiful eyes...Semuga bahagia mengharung hidup berumahtangga, kekal harmoni hingga akhir usia.

Sunday, May 11, 2008

Balik Kampung...Catatan Selamat Hari Ibu

Balik kampung zairah pusara mak, seperti biasa ia bersih terpelihara. Teduh dek pohon cempaka yang kami tanam telah rimbun berbunga. Semuga tenang roh mak di sana. Doa chek tidak pernah pernah putus-putus. Untuk mak mertua, Hajjah Che Puteh Othman, chek sayang mak. Semuga sentiasa dalam kesihatan yang baik.
~~~~~~~~stop sat, skrin komputer dah kabur.....~~~~~~~~~~~~
Selamat Hati Ibu Haya,
Saya ziarahi sahabat saya ini yang baru melahirkan putera puteri kembar pada hari Jumaat 9 Mei. Teruja hati tengok putera puteri comel sedang lena. Kulit Haya putih terserlah dan suaminya bertubuh gelap. Kembar ini seorang mengikut kulit bunda dan seorang lagi menyalin kulit ayahanda. MasyaALLAH. Ibu ini tidak alami sebarang alahan dan kesukaran fizikal waktu mengandung, aktif sampai hari bersalin. Namun emosinya hebat tercabar. Dalangnya juga seorang perempuan berstatus isteri dan ibu. Kami tak banyak bercakap berbeza kalau dalam telefon. Saya tinggalkan Haya yang masih di hospital dengan semangat untuk dia tabah dan terus mencipta bahagia. Dia ibu yang hebat - dia menangis waktu gembira dan ketawa waktu dia takut dan marah. Setia kasihnya tidak bersyarat, demi anak-anak yang bertambah dari tiga sekarang berlima. Semuga Haya memperoleh kemenangan menyisih pengacau rumahtangganya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dalam perjalanan pulang dari kampung dan ziarah Haya, kawan saya Afni telefon minta dibuatkan sebiji lagi kek coklat untuk di beri pada emaknya. Baru semalam dia tempah satu, kenapa nak lagi. Saya ingatkan untuk di beri pada ibu mertua. Rupanya tidak...kek untuk mak dah habis separuh dimakan ayah! Separuh lagi dihabiskan cucu! Mak kata OK tak mengapa, tapi Afni kesiankan mak tak sempat nak merasa. Alahaiiiii, kesiannya saya dengar. Saya pun cakap Ok, tapi tak jamin deco yang cantik sbb tak sempat buat. Menjelang maghrib, dapatlah juga Afni datang ambik kek coklat yang saya curahkan ganache dan taburan coklat flakes ... Semuga ia cukup untuk Afni memggembirakan hati mak.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Saya tidur awal sebab amat letih dan terjaga lebih awal pagi ini dengan ring tone sms ucapan selamt hari ibu dari kakak saya!!! Thank-you dear sis... Tengok-tengok, anak-anak lena bergulingan tidur di bilik saya! Waktu bila mereka menyelinap pun saya tak sedar. Entah-entah buat plan denagn abah nak suprise mama ni... Ammer memegang envelop warna pink! Ha ha ha...terkantoi! Nak buat suprise hari ibu tapi tak jadi! Mama bangun lebih awal....
Terima kasih anak-anak mama.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ini pula anak yang baru 5 hari lahir...

Bebek lahirkan 4 ekor anak, semuanya betina...
tak reti duduk diam baby Bebek nihhhh....

Bapa anak-anak Bebek, kambing baka sanen yang tekenal khasiat susunya..
Di keliling tempat belaan kambing, rambutan sedang berputik.. dokong sedang berbunga...
nangka sedang membesar...
cili padi berbuah lebat...

Selamat Hari Ibu, untuk semua ibu-ibu yang hebat! Salam ceria dan bahagia selalu...

Thursday, March 20, 2008

Kenduri dan.. apa tu?

Abang dan kakak saya meneruskan amalan kenduri maulud seperti kebiasaan aruah ibubapa. Saya memilih untuk pulang kepangkuan keluarga dari menjadi pemerhati perhimpunan dan perarakan Maulud di SJ yang di khabarkan akan menjadi perhimpunan orang M membantah dasar pemerintah baru negeri PP. Macam-macam ajakan saya terima supaya turut serta. Saya lega bila pihak berkuasa bersuara menerusi TV yang mereka akan bertegas terhadap sebarang tindakan yang menjuruskan cetusan sentimen di sini. Kami bertolak awal, bila kami sampai, nah...depa dok pulun gaul kerabu mempelam!
Menu ringkas, kari ikan, goreng pekasam, daging goreng kunyit, kerabu mempelam dan sambal belacan dan ulam-ulaman. Sekampung jiran bergotong royong, rewang kata orang Jawa. Sambil bekerja, sarapan pagi tersedia di meja layandiri. Pulut kukus dengan kelapa parut dan ikan asin goreng. Betul-betul sarapan orang bendang. Kena pula dengan apam putih dan bengkang tepung jawi ( orang selatan panggil bingka). Abang saya memang kreatif menyelongkar menu lama, dan pandai pula mencari pembekal yang bagus! Bihun goreng yang saya bawa jadi alternatif untuk kanak-kanak. Saya bukan tolong buat kerja pun, cuma jadi tukang kecohkan suasana, antaranya usik orang melatah!

Sebelum zohor, jemputan lelaki memenuhi ruang. Majlis bermula dengan tahlil di ikuti selawat, marhaban dan berzanji. Sekali lagi permintaan saya supaya jamuan diadakan secara buffet jadi umpan kena jegil dengan abang sulung. Manakan tidak, makan berhidang tentu banyak kerja. Jamuan sambung bersambung hingga petang. Letihnya, saya cilok pergi tidur sekejap lepas mandi dan sembahyang zohor, he he he...

Lewat petang baru pulang. Sebelum melepasi plaza tol Sg Dua, nampak apa tu?

Asap hitam tinggi dan besarrrr

Closed-up, kebakaran besar; kilang agaknya....
Kebakaran besar itu semacam daya penarik panorama di remang senja. Saya di antara puluhan kenderaan lain berhenti di bahu lebuhraya melihat dengan gerun sambil memetik kamera. Tahu tahu sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti di depan kereta saya. Alamak...! anggota JPJ buat rondaan kawalan ka?
Bila saya hidupkan enjin, nampak mereka pun turut merakam gambar dengan telefon bimbit...

Maulidur Rasul

Salam Maulidur Rasul. Selawat dan salam keatas Junjungan Besar Kekasih Allah, ar Rasul Muhammad Sallalah alaihi wasallamn. Selawat dan salam pada keluaraga dan para sahabat Baginda, serta seluruh muslimin muslimat.

Hari ini amat istimewa. Hari yang menjana kembali peringatan tentang betapa besarnya amalan selawat ke atas Baginda; kerana inilah benih yang perlu kita semai untuk memperolehi syafaat Baginda di akhirat kelak. Petikan hadith riwayat Tarmizi, "mereka yang paling dekat denganku di hari akhirat ialah mereka yang banyak bersalawat kepadaku".

Semuga kita dapat memenfaatkan sebaik-baiknya peringatan dari hadith ini. Amin

Sunday, March 9, 2008

Jalan-jalan Tiga Negeri Utara

Permatang Pauh / Seberang Jaya - 7.00 pagi Bersama jurugambar Ammer Ikhwan saya mulakan perjalanan dua misi. Awal pagi di halaman mesjid Jamek Bandar Bandar Perda, Permatang Pauh, gelanggang Datin Seri Dr Wan Azizah Dato' Wan Ismail (Kak Wan) dan Datuk Pirdaus Ismail (Datuk P). Pagi cerah seakan merestui pilihan rakyat Permatang Pauh , bendera parti berkibar indah. Perang poster di sini memang sakan, lawan berlawan . Trafik simpang siur dengan kenderaaan pengangkut pengundi.
Sampai di pusat pembuangan undi Tok Kandu, halaan kamera amateur Ammer di beri sorakan dari para pelobi pondok panas kedua-dua parti.






Suasana panas dan riuh walaupun masih awal pagi. Sukar di ramal kemenangan besar Kak Wan kerana Datuk P memang berhabis-habisan di daerah ini sejak penggal lepas. Kami sengaja memanjangkan langkah ke Seberang Jaya yang di dominasikan warna biru tua yang total. YB Datuk Arif Shah sememangnya kesayangan orang sini. Khidmat dan ramahnya tak mengira rakyat dari parti mana-mana pun. Tak harianlah beliau menang majoriti.

Kepala Batas 7.30 pagi.


Susur keluar Bertam lengang tapi begitu sesak di Bertam menghala ke Kepala Batas




Kami batalkan hasrat meninjau ke Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal setelah melihat kalut nya trafik di Bertam. Ia mungkin menjejaskan rangka waktu jelajah 3 negeri kami .
Saya katakan pada jurugambar , 80% BN menang di sini! Biar apa sekali pun telahan dan kritikan pada PM, orang sini amat hormat dan sayang cucu Tok Ngah Abdullah Fahim!
Kami membelah lebuhraya ke utara, singgah sebentar di R&R Gurun, jurugambar melepas lelah dan menikmati minuman kegemaran, milo ais!

Perhentian kami, daerah tumpah darah ku,
Kubang Pasu kubu kuat BN @ 9.00 pagi.

Saya membuang undi di sekolah tempat saya mengenal ABC. Petugas pondok panas BN dan pondok panas PAS adalah rakan sepermainan dan saudara mara. Kedua-duanya menyambut kami dengan senyum dan jenaka. Ya lah , pengundi tempatan pulang dari luar daerah. Serba salah juga kalau saya singgah di pondok panas nan satu, jadi saya memeriksa daftar nama di kedua-dua pondok, sekadar mengambil hati dan bertanya khabar dengan mereka yang dedikasi di bawah payung parti pilihan mereka!

Khemah biru dan hijau saya jejaki menyambut sapa dan bertanya khabar
Kepulangan upama ikan pulang ke lubuk,saya bukan saja pulang memangkah tapi dapat bertemu kawan lama dan saudara-mara sebelah ibu.
Pakcik handsome yang segak berdiri ini guru saya waktu sekolah rendah!


Sebak berjumpa kawan aruah mak datang di pimpin cucu mereka dan di sambut pegawai SPR.
Tanpa disangka, saya diunjukkan borang tuntutan duit minyak dan tol (?) Hah! Rupa-rupanya BN ada peruntukan ini setiap pilihanraya tapi ini pertama kali saya tahu tentangnya. Dalam hati berbisik, ini habuannya bermanis mulut beramah tamah! Saya hebahkan hal borang ini pada anak-anak saudara yang bermastautin di daerah lain dan sama-sama pulang mengundi di sini. Kami diarah mengambil wang nya di Pejabat UMNO, Jitra. Anak-anak saudara melompat ke kereta saya dan kami jalan-jalan dengan selesa melihat-lihat pos-pos di sekitar Jitra, Bukit Kayu Hitam, Tunjang, Bukit Pinang. Rata-rata pertarungan PAS-BN sengit sejak zaman Tun Mahathir. Kami sepakat menjangka laluan sukar untuk Parlimen di menangi PAS atas faktor populasi Bumiputera Siam di sini. Perhubungan dengan Selatan Thai perlu di ambil kira, sebab itulah Pak Lah memang tepat melantik ahli Parlimen Kubang Pasu sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada penggal yang lalu. Begitupun jangkaan kami bahawa Dr Rohani Mutalib mengatasi DSM juga meleset kiranya. Kubang Pasu kekal sebagai kubu BN walaupun PAS menang majoriti dan membentuk kerajaan negeri :D

2.30pm : Jerlun :Mukhris vs Ismail Ahmad
Cakap-cakap nakal berkata Jerlun adalah laluan mustahil untuk anak Tun kerana rata-rata pesawah di sini memang pekat hijaunya.Begitupun,menarik juga jambatan taliair ini berhias senyum wakil parlimen baru!
3.00 petang: Arau, Perlis

Adik Menteri Besar vs Prof Dr Harun Din al Hafiz
Ismail Kassim yang di kenali sebagai Chu, menang tipis dengan 300 undi sahaja. Waktu kami sampai hujan turun dengan lebat. Mereka tak hiraukan hujan panas agaknya, masing-masing berpayung berkerumun pos panas mereka.
Di Simpang Empat, PAS terus berkibar megah dengan kemenangan majoriti 58 undi. Sengit memang sengit!
Perjalanan pulang melalui Alor Setar, kami singgah solat Asar di Mesjd al-Bukhary. Hujan mencurah-curah. Ammer tak henti-henti ketawa melihat poster bergelimpangan lintang pukang di simbah hujan. Ironinya... tak ada gambar!
Solat Maghrib kami di R&R Gurun sebelum meneruskan perjalanan pulang. Memasuki kawasan Kak Wan, kami tak menjumpai satu pun poster PKR. Wah, pantas dan bersih orang-orangnya. Tak lama selepas itu saya terima sms bahawa Kak Wan menang majoriti besar. Satu demi satu saya memaku diri di depan tv sehingga jelas BA menawan Kedah tercinta dan Pulau Pinang, kini milik siapa...

Friday, March 7, 2008

Selamat Mengundi Rakyat Malaysia

Jalan masuk ke kampungku... Gambar ini saya muat turun dari sini... buat saya teruja dan mahu balik kampung....
Tunggu Dr KakAni... chek balik niiiii.... Maaf SM, chek dengaq cakap TokDet.....

"Vote sensitively. Vote not only with party loyalty concerns but also vote in order to have good people setting up a good government." - Tun Mahathir Mohammed


Kepada semua pengundi berdaftar, selamat menjalankan tugas dengan akal yang waras.

Kepada penghuni hantu , pangkah upahan anda tidak membawa keberkatan dunia dan akhirat.

Monday, March 3, 2008

Koleksi Antik....Maaf!

Beberapa tahun dulu saya menghimpun barang-barang lama. Nilainya unik pada mata saya kerana ia cantik walau berusia, jarang dijumpai, fungsinya dalam keunikan bentuk dan cerita di sebaliknya. Objek barangan lama ini bagaikan hidangan sejarah dalam jejak laku masyarakat yang kita pusakai. Koleksi saya merangkumi koleksi keluarga yang saya perolehi dari ibubapa,adik beradik kedua-dua belah pihak dan satu lagi koleksi yang saya cari,tukar atau beli. Kebetulan suami juga berminat. Antara yang kami ada ialah keris, pinggan antik pecah seribu,sepasang takar cuka getah,set teh cina, duit siling, batu permata, kulit siput, batu, botol dan beberapa lagi termasuk kain tenun.

April 2006 - saya ucapkan selamat tinggal pada barang antik.
Koleksi keluarga, saya serahkan pada abang-abang. Yang saya perolehi dari sumber lain saya
B.U.A.N.G dan tak mahu di kenang lagi.

Saya tidak sedar bagaimana ia bermula tapi kala itu saya bencikan semua orang. Dengan anak saya garang macam mak tiri. Lepas marahi anak,saya menangis kesal. Rumah saya dikelilingi mesjid dan surau, saya tak keruan pada waktu azan sahut bersahut. Saya tutup telinga, lepas itu saya menyesal dan beristighfar, kemudian menangis. Rasa kesal. Bila saya ingin lakukan sesuatu yang baik, umpama bermesra dengan anak, ada satu perasaan lain menyelinap. Jadi keliru dan marah pada diri sendiri. Apa di buat serba tak kena! Selalu dibuai perasaan sayu yang entah kenapa. Bahagian sebelah badan terasa amat berat dan berdenyut-denyut. Bukan saya tak amalkan surah al Quran, tapi membacanya pun tak betul. Lidah kejung. Bacaan Yasin saya ulang berkali-kali dan sebutan melencung ke mana-mana walaupun mata saya mengikut hurufnya. Serba tak kena. Solat pun amat malas. Bila mengangkat takbir, saya menerawang ke mana-mana.
Saya dibawa berubat secara tradisi. Memberontak tak mahu..tapi apakan daya, pada masa itu saya amat takut dengan abang-abang saya. Benci. Sesuatu yang janggal sebab saya rapat dengan mereka semua. Menurut Pak Haji pengamal perubatan tradisi itu, saka orang singgah pada saya. Abang,kakak dan suami terkejut besar.Saya terasa macam terapung-apung, tak jejak ke bumi. Antara sedar dan tidak. Saya rasa saya sedar kerana melihat kakak saya menangis tersedu-sedu. Waktu berubat saya dikatakan bercakap sesuatu yang saya tak sendiri tidak tahu. {Saya tidak diberitahu apa yang saya ucapkan, cuba juga bertanya, tapi abang saya menasihatkan supaya dibuang jauh-jauh ingatan itu}. Puncanya,salah satu barang dalam simpanan saya bersaka,bila barang itu berpindah milik, saka nya berpindah tuan! Empunya saka itu sendiri memilikinya tanpa pengetahuan beliau. Alkisah, sewaktu beliau masih kecil zaman sebelum perang, seseorang telah menyerahkan " sesuatu" pada dia konon untuk pelindung diri.
Dalam perjalanan balik dari rumah Pak Haji, kami yang berkonvoi 3 buah kereta berhenti di tepi jalanraya di pinggir sawah. Saya dengar nasihat abang pada suami supaya bersabar banyak-banyak. Mereka berbincang sambil airmata masing-masing berlinang. Saya macam orang bodoh, antara sedar dan tidak. Yang pasti saya amat letih, memandang mereka dengan perasaan beku. Macam baru terjaga dari mimpi. Saya masih ingat tadinya saya diberi makan garam kasar dengan halia bara dengan sekali kunyah, minum air gunung, mandi air gunung, dan diberi bekal surah-surah untuk amalan saya. Antaranya amalan harian waktu sembahyang surah Yasin dan surah al-Jinn yang di baca setiap kali lepas sembahyang maghrib. Cukup payah nak menghabiskan surah ini. Satu malam saya bertarung dengan diri sendiri. Saya baca dan ulang semula bila saya sedar bacaan salah. Waktunya panjang hingga kaki saya kebas dan badan saya menggeletar. Saya mulai selepas sembahyang maghrib dan habiskan satu surah pada hampir pukul 10 malam. Selesai saya menyebut, kun faya kun.. semacam angin panas menerobos keluar melalui telinga. Saya solat Isyak dan selepas itu rasa letih yang teramat. Automatik, selepas kejadian itu, surah Yasin kembali basah dilidah saya. Bacaan ayat suci al Quran lancar macam biasa. Bila saya ceritakan pada Pak Haji, dia tersenyum dan mengangguk.
Tiba-tiba ada semangat baru menyelinap. Rumah kami ceria kembali dengan gelak ketawa. Kami berkunjung lagi ke rumah Pak Haji. Kali ini saya mencari-cari di mana perasaan takut saya bila masuk ke halaman rumah Pak Haji sebelum ini. Ia hilang. Cuma terasa nyaman, tenang, melihat Mak Aji memberi makan anak ayam di tepi rumah di permatang sawah landai di kaki gunung Jerai.
Pak Haji menyambut saya dengan senyum dan mengusik, katanya saya dah kembali berseri-seri. Tak macam dulu, moyok dan gelap saja airmuka saya. Dia mengejek saya dengan beberapa perkataan,dan saya terpinga-pinga sebab saya tak tahu lansung hal itu...Oh, itu rupanya yang saya ucapkan tanpa sedar waktu proses "mengeluarkan" saka dari jiwa raga!
Malas mahu fikir tentang apa, kenapa, bagaimana, siapa, bila .....Saya pilih yang lurus. Kita hamba, mereka pun hamba. Kita ada jalan kita, pilihan kita di jalan Allah. Hati saya lapang.
Saya sunguh-sungguh bersyukur dengan sokongan kuat suami,abang-abang dan kakak saya. Kesabaran, kasihsayang dan pimpinan mereka menyalakan semula semangat saya. Kesihan suami saya kena buli. Tidurnya dulu tak pernah nyenyak sebab "saya" asyik menyerkah,menggigit kakinya waktu tidur. Tak cukup dengan itu saya meracau-racau dalam tidur...{yang saya sedar hanya bila terjaga terasa hembusan panas masuk ke cuping telinga}. Suami disisi membaca ayat suci dan menghembusnya ke telinga. Saya tak tahu pun hal itu berlaku. Bila dikisahkan Pak Haji, barulah saya dapat menyambung peristiwa demi peristiwa.
Hikmahnya, saya lebih tenang dan yakin mengumpul kekuatan diri. Kini minat terus luput, replika antik pun saya tak berkenan. Saya mohon maaf andai catatan ini mengguris hati sesiapa. Tulisan ini bukan bermaksud memperlekehkan antik. Jauh sekali mempengaruhi sesiapa, apatah lagi orang-orang yang berminat dengannya. Ini adalah sekilas catatan kisah hidup saya yang tidak mungkin lupus, tapi telah saya sempadani. Saya masih punya banyak pilihan lain untuk menceriakan hidup dan membahagiakan orang-orang tersayang. Ia mengajar saya berhati-hati dan beristikharah memohon petunjukNYA kerana apa yang kita rasakan baik untuk kita tidak semuanya pilihan yang tepat dan bersih di sisi ALLAH.

Sunday, February 17, 2008

Pilihanraya: 5 perkara lalu...

1. Musim lepas, waktu meriah orang berkempen , saya pergi kenduri kahwin di daerah P**D***. Ada seorang pakcik cakap kasar dan tuding jari pada saya. Kurang faham apa dia cakap, slang dia lain skit. Salah seorang tuan rumah bagi tahu, dia marah saya orang Puteri **N0! Sebabnya? Mana dia tahu, saya pun tak tahu yang saya jadi ahli sayap itu? Kerana...saya pakai baju dan tudung pink!
>>>Laaa, kesian dia...tak apa, saya maafkan.

2. Kena marah ( lagi )dengan jiran lelaki , seorang petugas parti peneraju bila dia tanya; dan saya cakap saya tak balik kawasan mengundi. Waktu tu saya demam, anak kecil sangat dan suami di luar negara. Tak ada sesiapa tolong jaga anak kecil dan saya tak larat memandu balik kampung dan balik semula pada hari yang sama sebab tak ada pelepasan cuti. Katanya saya tidak bertanggungjawab, tak berterima kasih dan tak prihatin. Saya tanya balik, ada awak tahu susah saya, ada sesiapa dari parti awak prihatin pasal anak saya? Saya yakin benar MP kawasan saya MESTI menang. Saya pangkah BN dia menang, saya pangkah PAS pun dia menang! Kubang Pasu beb! Dia pergi tanpa menoleh.
>>> Sila bersopan santun. Jangan dijolok sarang lebah!

3. Saudara dua pupu saya orang kuat politik akar umbi. Waktu biasa kami agak rapat dan boleh bergurau. Musim begini dia jadi "lain". Musim lepas, saya bengang sebab dia sudah lebih-lebih mengutuk parti yang satu lagi dan meletakkan saya di bawah parti itu. Pandai-pandai jer...
Saya tak boleh beransur dengan orang yang suka menuduh ni, tapi tak kuasa bertekak. Jadi bila balik kampung, saya akan cari jalan, jauhi dia....
>>>Malas melayan orang taksub dan tak suka hati saya di sakiti...

4. Pergi mengundi di sekolah lama dan dapat jumpa kawan-kawan sekolah masa sekolah rendah! Sebab itu saya tak tukar alamat daftar pemilih!
>>>Alasan remeh, ha ha ha...

5. Dua orang Abang saya geram kat saya dan mereka bertekak pasal saya. ( Mereka penyokong parti berlainan! ). Adik mereka yang seorang lagi pegawai kerajaan jadi depa sama-sama mengandaikan kakak saya tu penyokong kerajaan ! Tentang saya pulak masing-masing tak dapat menangkap riak saya berpihak ke mana.
Saya pun lagilah
... senyum-senyum tarik harga...seronok tengok depa"bercekau" lepas tu minum kopi dan boleh terus bergelak ketawa!
>>>fahaman politik tidak mencarikkan pembuluh darah kami....Alfatihah untuk Aruah Mak&Bapa.