Wednesday, December 16, 2009

Bayam Batu

Di bawah pohon itu kubawa rajukku. Tiada siapa tahu. Sendiri mengesat jurai airmata sambil tangan yang satu lagi mencapai butir kecil yang merah menyuapi mulut sendiri. Terhibur hati kala menjumpai buahnya yang hitam kerana ia begitu manis pada lidah. Begitu teduh di sana. Boleh membaca sambil menunggu padi di jemuran bawah terik mentari musim kemarau. Dahan pohonan yang jingga berkerutu bintil-bintil kekadang ku lelas hanya untuk suka-suka. Ada juga torehan catatan kata hati di perdu sana. Pohon bayam batu itu membesar bersamaku. Aku tahu mana pucuk yang baik untuk di sayurkan. Aku juga teliti memilih daun muda untuk direbus dan diulamkan dengan air asam berlauk haruan bakar! Sesekali hati bergegar juga melihat akar bayam batuku dikorek dan direntap putus dari tunjangnya. Akarnya berwarna oren segar. Tapi hati berbisik.. pohon itu redha akarnya di cabut kerana khasiat penyembuhnya untuk penyakit batu karang.
Masih segar senda dan gaduh-gaduh manja berebut buah yang paling besar, paling hitam dengan sepupu. Duduk-duduk senggang, sembang-sembang petang dan main aci ligan berkeliling pokok bayam batu yang berjiran dengan pohon nona dan keriang batu..mana lagi nak dicari tanaman itu sekarang...
Bersama waktu yang pergi , seusai SPM kudapati pohon bayam batu ku tiada lagi di hujung laman. Rindu juga, sayu pun ada. Tapi hakikat survival diri, tiap yang ada lawannya tiada. Mustahil ia kekal di bumi Allah.
Kelmarin, kujumpai pohon ini didaerah kelahiranku... dan nostalgia menyingkap kisah damai anak kampung yang mula memberitahu anak-anakku bahawa bayam batu dipanggil mulberi. Kala usia menginjak, segar rasa hati melihat buah merah hitam melekat subur di sana. Manis juga deria mengulang rasa masam manis buah kecil yang tidak pernah mengenyangkan , tapi cukup untuk menjadi perencah dewasa.

3 comments:

siti ajar bt yaakob said...

terharu...saya pun kerap mengimbau kenangan lama melalui objek=objek silam yang membawa kenangan...samada manis atau pahit...bagi saya melihat daerah lama yang pernah dihuni dulu tetapi kini milik orang lain menjadikan hati terharu...pertambahan usia seiring pembangunan yang membawa perubahan, dalam perubahan pasti ada yang masis dan pahit...itulah keindahan kenangan..

tulipurple said...

sukanya baca kalo sis menulis gaya bercerita mcm nie..tersentuh.ooo bayam batu nama mulberi yg lain ek,byk rupernye kegunaan pokok tu.pucuk dia rasa mcm bayam ke sis?

cikMilah said...

Salam Siti..betul tu..mmg sayu melihat sesuatu yang pernah kita miliki kini jadi hak orang lain.. tapi redhalah.. tiada yang kekal melinkan Allah

Wawa.. suka pulak bermalankolik!